TAUHID MENOLAK JAHILIYYAH DAN MEMBENTUK MASYARAKAT
ISLAM
Islam nizam yang lengkap
Islam adalah nizam atau sistem yang lengkap dan menyeluruh. Islam terbina di atas asas yang kukuh. Islam terdiri daripada rukun-rukun yang besar, cabang-cabang dan ranting-ranting yang kecil saling memaut dan tertegak di atas asas yang kuat. Islam laksana pokok, berasal daripada sebiji benih, kemudian mengeluarkan akar, seterusnya tumbuh batang,dahan, cabang, ranting dan daun sehingga menjadi pokok rendang. Namun setiap helai daun berhubung rapat dengan akar pokok itu.
Islam bererti penyerahan diri
Islam bererti penyerahan diri dan kepatuhan hamba sepenuhnya kepada Allah SWT. Islam menarik manusia daripada menyembah sesama hamba kepada menyembah Allah Yang Maha Esa. Islam menghendaki manusia tunduk dan patuh kepada kekuasaan dan peraturan-Nya sahaja dalam semua urusan hidup.